ITQAN | U_RED | MULTIMEDIA. Powered by Blogger.

Friday, November 5, 2010

AKU BIMBANG , KHUATIR...........


Aku sungguh bimbang sekali
bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi
bukan kerana tiada pemimpin berwibawa di setiap bidang
bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak cemerlang
bukan kerana suasana politik yang tiada aman
bukan kerana rakyat jelata malas berusaha siang malam.

Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi
kerana pemimpin berwibawa disetiap bidang tidak didengarkan
suara mereka yang berani benar tentu tidak menyedapkan
cadangan mereka yang mengislahkan perkara mengambil masa
bukan untuk cepat mencari untung mengira laba
bukan juga untuk menangi pilihan raya kan tiba
bukan untuk menagih liputan media massa
hanya inginkan kejayaan berkekalan
mendapat keredhaan di dua kehidupan

Aku khuatir umat tidak akan bangkit lagi
Kerana pertumbuhan ekonomi cemerlang tidak digunakan
Untuk mengukuh akhlak tinggi di peringkat atasan
Yang mudah berubah dengan longgokan kekayaan
Yang takabbur lalu merendah bidang tak menguntungkan.

Aku takut umat kita tidak akan bangkit lagi
Walau ekonomi melambung tinggi
Umatku sibuk membeli saham menjual budi
Anggap sekolah,madrasah tidak bererti jika gagal meningkat gaji
Universiti tidak dinilai secara insani,hanya patuh nafsu industri
Yang sering berubah mengikut pasaran
Pasaran berubah mengikut perasaan.

Aku bimbang walaupun suasana politik begitu aman
Rakyatku sentiasa ditakutkan dengan cerita khayalan
Tidak berani menyata kata walau hak di dusta selalu
Tidak sanggup membuka mata walau muka diconteng melulu
Tidak malu membuat fitnah walau berada di pintu kaabah
Tidak gentar pada al-Haqq kerana takut hilang anugerah.

Aku bimbang umatku tidak akan bangkit lagi
Kerana yang malas selalu diganjari 
Kerana pandai memuji tinggi
Kerana terlalu tunduk mematuhi
Tanpa mengira ajaran amaran ilahi
Tanpa mengikut undang-undang negeri.
Ulama dapat dibeli,hakim dapat ditakuti.

Bagaimana kita akan bangkit semula melawan musuh
Jika ayam jantan yang senang berkokok setiap subuh
Membuka mata bangsa,menjernihkan yang lama keruh
Di potong lidahnya,disepak terajang si anak bodoh???

Aku sungguh bimbang kita akan terus begini
Kerana puyuh pentadbir diangkat mengawal helang ilmi
Tata-cara sekolah rendah diguna-pakai di universiti tinggi
Kaedah mengurus wang dipertuhankan,dianggap suci
Diguna membangun insan,menilai sumbangan ulama dan Nabi.

Kita akan terus begini seribu tahun lagi
Kerana tabiat buruk membazir sentiasa diulangi:
Suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap
Membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap 
Menebang pokok meranti tinggi,rendang dan tegap
Semata-mata kerana benci,dengki dan hasad!!

Bagaimana kita akan bangkit semula 
Memimpin dunia mendapat syurga?
Jika ibu-bapa pintar melahir anak cuma 
Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja
Jika guru,pensyarah kehilangan arah
Ilmu terpaku di dada ijazah
Jika peniaga bermain politik,bertuhankan laba 
Ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala
Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar-
Cekap mengubah fakta,meminda makna ,mengejar kuasa 
Adam akan menyesal
Dan iblis berkenduri besar...........


cetusan idea////MUTiaRA TaMAn ADabi/////
Wan Mohd Nor Wan Daud













No comments:

About This Blog

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP